KELAB UMNO LUAR NEGARA

 

SEKRETARIAT

Print PDF

ANAK SURAYA YAAKOB - AJK BIRO KULN MENINGGAL DUNIA


ALOR SETAR: Anak Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tiang, Suraya Yaacob, maut dilanggar kereta ketika melintas jalan di Kilometer 3 Jalan Kuala Kedah-Alor Setar, dekat sini, pagi kelmarin.


Bagaimanapun identiti Syed Arif Syed Alfandi Barakhbah, 12, hanya diketahui hampir 12 jam selepas kemalangan berlaku pada jam 8 pagi kelmarin kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui bersamanya.

Ketua Trafik Daerah Kota Setar, Deputi Superintendan Mohd Sham Abdullah, berkata kejadian berlaku apabila mangsa yang menunggang basikal melintas jalan yang sibuk di situ sebelum dirempuh kereta dipandu seorang wanita berusia 20-an.

Ketika kejadian, mangsa yang berbadan gempal serta berkulit cerah dan memakai kemeja-T hitam serta jeans biru dipercayai mahu keluar bermain kerana membawa lastik di pinggangnya.

Polis kemudian menghantar mayat mangsa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, di sini.

Identiti Syed Arif diketahui selepas sepupunya menelefon polis apabila mangsa yang keluar bersendirian tidak pulang sehingga petang.

Mangsa disahkan anak wakil rakyat berkenaan apabila bapanya, Syed Alfandi Barakhbah Syed Mansor Barakhbah membuat pengecaman di bilik mayat hospital, malam kelmarin.

Ketika kejadian, Suraya berada di Langkawi menjalani kursus Biro Tata Negara selama tiga hari sejak Khamis lalu dan bergegas pulang sebaik dimaklumkan kejadian yang menimpa anak keduanya daripada tiga beradik itu. Mangsa ialah pelajar Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Peremba, Jalan Kuala Kedah.

Syed Alfandi berkata, beliau tidak sedap hati apabila anak lelakinya itu yang keluar rumah sejak jam 7.30 pagi tidak pulang sehingga jam 6 petang dan hanya memberitahu dia mahu ke rumah rakan di Taman Pelangi, kira-kira satu kilometer dari rumah mereka.

Katanya, beliau turut mencari anaknya di sekitar kawasan rumah termasuk di lokasi kejadian tetapi gagal menemuinya.

"Saya turut bertanya orang ramai di sekitar taman perumahan.

"Namun jam 6.20 petang semalam (kelmarin) seorang peniaga datang ke rumah dan memberitahu polis yang singgah minum di kedainya berkata ada kemalangan maut membabitkan seorang kanak-kanak tidak jauh dari sini tetapi identitinya belum dikenal pasti.

"Mak cik berkenaan menyuruh saya ke hospital untuk mengecam mayat," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sophia, Jalan Kuala Kedah, semalam. Beliau memaklumkan berita itu kepada isterinya jam 7.30 malam kelmarin.

Jenazah Syed Arif dituntut jam 10 malam kelmarin dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Bukhary, Jalan Langgar, jam 11.15 pagi semalam.

Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Sultanah Kedah, Tuanku Haminah Hamidun turut mencemar duli menziarahi Allahyarham.