PROGRAM KERJAYA "GLOBAL MALAYSIAN" KELAB UMNO CHICAGO

Program Kerjaya "Global Malaysian" adalah satu usaha oleh Kelab UMNO Chicago yang mempunyai objektif untuk mambantu pelajar-pelajar Malaysia di luar negara, terutamanya di Amerika Syarikat.
Ia juga boleh dijadikan sebagai platform untuk mencari peluang kerjaya di Malaysia, dan memudahkan agensi-agensi kerajaan serta swasta untuk mengenal-pasti bakal-bakal graduan Malaysia di universiti-universiti terkemuka yang ingin pulang berkhidmat kepada negara, sekaligus menyumbang kepada kemajuan sumber tenaga manusia bagi mengekalkan kemantapan ekonomi Malaysia.
Secara ringkas, setiap tahun program ini mengumpul resume-resume daripada pelajar melalui laman web www.globalmalaysian.org, dan diedarkan kepada syarikat atau agensi pekerjaan di Malaysia melalui laman web yang sama.
Edisi sulung bank atau pangkalan data yang mengandungi 150 resume telah berjaya diedarkan pada tahun 2008. Pada tahun 2009 pula, dengan penglibatan Kelab UMNO Korea yang mengumpul lebih kurang 50 resume daripada pelajar-pelajar di negara tersebut, sejumlah 200 resume berjaya dikumpul dan diedarkan.
Kami juga sedang bekerjasama dengan Graduan, sebuah agensi pekerjaan bumiputera dari Malaysia, untuk menganjurkan program kerjaya sempena Malaysian Midwest Games 2010 yang akan diadakan di Purdue University pada akhir bulan Mei ini. Bank Negara dan Accenture adalah antara agensi yang berminat untuk hadir.
Sebagai Pengerusi Kelab UMNO Chicago, Dr. Mohd Rapik Saat telah menjadikan Program Kerjaya "Global Malaysian" sebagai satu batu loncatan untuk mengasah bakat kepimpinan dan pengurusan ahli-ahli Kelab yang mempunyai potensi untuk menggalas tampuk kepimpinan Kelab atau menjadi pemimpin di masa hadapan.
Baru-baru ini, Saudara Muhammad Afiq Hamzah telah dilantik sebagai Pengarah Program Kerjaya "Global Malaysian". Beliau telah bergiat aktif mewar-warkan program ini di laman Facebook dan blog-blog pelajar di Amerika Syarikat. Beliau juga bertanggungjwab untuk menguruskan laman web dan komunikasi dengan pelajar, dan agensi-agensi di Malaysia.
Usaha murni seperti ini adalah amat digalakkan dan harus dijadikan contoh kepada ahli-ahli kelab UMNO yang lain, untuk memartabatkan nama Kelab UMNO Luar Negara.









